PUTRAJAYA: Terpulang kepada pihak pembangkang untuk mempersoalkan keikhlasan Kerajaan berhubung draf perjanjian persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ahli Parlimen Petrajaya itu berkata, beliau enggan melayani sindiran bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang isu tersebut.

Apa yang penting, tegas beliau, Kerajaan komited untuk menyelesaikan perjanjian tersebut, biarpun sebenarnya majoriti dua pertiga dalam Parlimen tidak memerlukan kerajaan untuk melayani permintaan tersebut.

“Saya tak nak komen itu, apa pun yang dia (Muhyiddin) kata, tetapi sekarang ini apa yang penting kita nak laksanakan kaedah itu.

"Dahulu pun ada perjanjian (zaman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri), apabila ada perjanjian baharu ada peruntukan.

“Sekarang ini MoU nak dilaksanakan, kalau ikutkan tak perlu pun, kerajaan sudah ada dua pertiga tetapi mengapa perlukan lagi perjanjian,” katanya lagi.

Fadillah berkata, kerajaan cenderung untuk mempunyai persefahaman supaya dapat terus menggerakkan pembangunan negara, dan terus fokus kepada ekonomi dan kebajikan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Rumah Terbuka anjuran beliau di Kediaman Rasmi TPM, Sri Satria, di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin sebagai berkata, tidak perlu ada Memorandum Persefahaman (MoU), jika Kerajaan Perpaduan ikhlas untuk memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Tambahnya lagi, keputusan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan adalah ‘mempertimbangkan’ bagi penyaluran peruntukan.

“Saya tak nak cakap pada zaman saya. Waktu COVID-19, kami bagi peruntukan kepada mereka (pembangkang). Mereka tak mohon… tak ada MoU atau perjanjian apa-apa.

“Ini kerana ketika itu zaman susah dan wakil rakyat bertanggungjawab meringankan beban,” katanya kepada media pada Ahad.

Dalam pada itu Fadillah berkata, biarpun tiada tempoh masa untuk memuktamadkan MoU tersebut, namun kerajaan berharap draf dapat disiapkan secepat mungkin.